MENU

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Detik berganti detik, hari bersilih ganti, bulan berganti bulan dan seterusnya kita telah meninggalkan tahun 2018 untuk melangkah ke tahun baru 2019. Sebagaimana kelazimannya apabila memasuki tahun baru ianya akan hadir bersekali dengan azam dan tekad untuk menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya. Dalam semangat Malaysia Baharu dan konteks penyampaian perkhidmatan yang berkesan, Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) sentiasa komited untuk memastikan setiap piagam dipatuhi dengan mengamalkan tadbir urus yang cemerlang dan menjadi pegangan setiap anggota.

MDBG telah meninggalkan tahun 2018 dengan pencapaian cukup memberangsangkan di mana beberapa perkhidmatan teras telah ditambah baik untuk mencapai ekspektasi rakyat. Antaranya ialah pensijilan MS ISO 9001:2015, mencapai aras 5 bintang dalam Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan 2018, mendapat 5 bintang Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan 2017 yang telah diaudit pada tahun 2018 dan mendapat tempat pertama dalam negeri Perak bagi Pencapaian Penyelesaian Permohonan Kebenaran Merancang dalam Tempoh Piagam (ranking of efficient). Selain itu juga MDBG turut berjaya menyelesaikan 100% aduan awam yang diterima mengikut tempoh piagam yang ditetapkan.

Semua pencapaian ini adalah hasil daripada permuafakatan yang erat di antara pihak pengurusan, Ahli Majlis dan anggota kerja yang terus fokus untuk mencapai status Majlis Perbandaran menjelang tahun 2020 nanti. Kerjasama erat yang diberikan oleh jabatan-jabatan di peringkat daerah dan negeri serta pihak-pihak berkepentingan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa turut serta dalam program atau kempen yang dianjurkan juga banyak membantu kepada kejayaan yang dihasilkan.

Namun demikian kita tidak harus terus leka dibuai dengan kejayaan yang diperolehi kerana untuk mengekalkan pencapaian tersebut adalah cabaran terbesar yang perlu digalas. Selain daripada mengekalkan kejayaan yang diperolehi, MDBG bertekad untuk terus mengorak langkah ke hadapan untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan PBT yang telah banyak menempa nama di peringkat negeri ataupun persekutuan. MDBG akan terus memperkasakan libat urus bersama penduduk melalui program Local Agenda 21 bagi mendapatkan lebih banyak input untuk menghasilkan sebuah perbandaran yang mampan, lestari dan berkualiti.

Akhir kata saya menyeru kepada diri saya dan seluruh warga kerja MDBG untuk terus mempertingkatkan lagi kualiti dan gerak kerja supaya ia selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan kesejahteraan penduduk dan rakyat terlaksana. Sebagai anggota yang menjalankan amanah, tugas dan kita perlu ditunaikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan berintegriti sesuai dengan firman Allah di dalam surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud “sesungguhnya sebaik baik pekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.

SELAMAT TAHUN BARU 2019
 

MOHAMAD RAZIF BIN RAMLI
YANG DIPERTUA
MAJLIS DAERAH BATU GAJAH