MENU

IPOH- Kerajaan negeri menjelaskan dakwaan mengenai penggunaan aplikasi Park@Perak yang dikatakan bakal menghapuskan penggunaan kupon meletak kenderaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penggunaan aplikasi itu hanyalah sebagai salah satu alternatif bagi memberi kemudahan kepada pengguna dan bukannya bermakna menghentikan penggunaan kupon.

“Kerajaan negeri begitu komited untuk melaksanakan pembaharuan bagi memberi kemudahan kepada rakyat namun pada masa sama akan mengambil kira tahap kesesuaian dan kesannya secara menyeluruh.

“Kekeliruan ini telah menimbulkan banyak rungutan dalam kalangan pengguna dimana permasalahan timbul apabila terdapat golongan yang tiada telefon pintar, mempunyai kemampuan penggunaan teknologi yang rendah seperti warga emas serta dapatan capaian internet yang terhad di sesetengah kawasan,”katanya dalam satu sidang media di Bagunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Selain itu Ahmad Faizal turut mengulas mengenai status yang dimuat naik dalam satu laman blog yang mendakwa ‘Tiada lagi kupon parkir di Perak’ dimana telah tular di laman sosial malah mendapat banyak komen negatif dalam kalangan netizen.

“Kerajaan negeri sama sekali tidak akan mengambil tindakan yang dilihat memudahkan sesetengah pihak, namun pada masa sama mendatangkan kepayahan kepada golongan lain pula.

“Antara kebaikan sistem tersebut ialah dapat memudahkan pengguna supaya tidak perlu tercari-cari kedai menjual kupon, tidak perlu ke kereta untuk membuat bayaran serta dapat menjimatkan masa disamping dapat mengurangkan penggunaan kertas yang tentunya mendatangkan kesan lebih baik terhadap alam sekitar,”katanya.

Sumber : Perak Today