MENU

 

LENGGONG - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak sedang memperluaskan perkhidmatan kutipan sampah ke kawasan kampung tradisional dengan caj minimum RM4 sebulan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman berkata, perkhidmatan itu dibuat bagi memastikan pengurusan sampah dilaksanakan secara sistematik.

Menurutnya, perkhidmatan itu sudah dua tahun dilaksanakan tetapi tidak menyeluruh dan sedang diperluaskan secara berperingkat.

“Pengurusan sampah secara sistematik ini penting bagi memastikan kawasan persekitaran kampung bersih sekali gus mengurangkan pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca peningkatan kes demam denggi.

“Saya mengharapkan kerjasama daripada penghulu mukim dan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung untuk membantu pejabat daerah serta majlis daerah dalam melaksanakan program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taman Awam Gua Tok Giring Lenggong sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2019 Peringkat Negeri Perak di pekarangan Taman Awam Gua Tok Giring anjuran Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) di sini hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Rohani Md Hashim; Pengarah PLANMalaysia Perak, Jasmiah Ismail; Pengawai Daerah Hulu Perak, Zulhisham Ahmad Shukori dan Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong, Ahmad Suqairy Alias. Zainal Azman berkata, pihaknya mengharapkan agar penghulu dan pengerusi MPKK dapat memberikan maklumat tepat tentang pelaksanaan tersebut supaya penduduk kampung bersetuju dengan kos minimum yang perlu dibayar bagi melaksanakan program tersebut.

Katanya, bayaran untuk kutipan sampah itu dibuat secara tahunan dan kawasan terlibat akan disediakan tong sampah serta pungutan sampah dibuat tiga kali seminggu. Sementara itu, Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2019 Peringkat Negeri Perak menampilkan kelainan dengan acara perasmian Taman Awam Gua Tok Giring.

Menurut Rohani, berbanding di negeri-negeri lain, sambutan HPBS dibuat melalui aktiviti penanaman pokok, bicara komuniti, penganugerahan berkaitan alam sekitar dan sebagainya untuk memberi peluang kepada orang awam mengenali bidang perancangan bandar amnya.

Kredit : Sinar Harian