MENU

 

BATU GAJAH – Atas sambutan menggalakkan pada dua siri penganjuran sebelum ini, Lawatan Waktu Malam Di Kellie’s Castle atau Kellie’s Castle Night Tour V3 kini diteruskan pada tahun ini.

Menurut Pengarah Urusan Kellie’s Castle, Zamari Muhyi, lawatan tersebut dibuka pada jam 8 sehingga 12 malam pada setiap Jumaat dan Sabtu sehingga 31 Oktober ini.

“Sambutan pada dua siri sebelum ini sangat menggalakkan dan pada tahun ini kita tetap teruskan penganjurannya.

“Kellie’s Castle Night Tour V3 ini akan memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri melawat Kellie’s Castle pada waktu malam,” katanya.

Katanya selain akan disediakan pemandu pelancong, jumlah pengunjung dihadkan kepada 10 ke 15 orang dalam satu-satu sesi setiap jam.

“Hanya pengunjung berumur 12 ke atas sahaja dibenarkan masuk. Warga emas atau individu yang mempunyai masalah kesihatan kita tidak menggalakkan untuk masuk,” jelas beliau.

Katanya tiket dijual dengan harga RM10 bagi pemegang MyKad manakala pelancong asing dikenakan bayaran RM20.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Geotourism Vouchers #TravelPerakLah dan Dark Tourism di Kellie’s Castle di sini, malam tadi.

Hadir sama Pengarah Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi berkata Kellie’s Castle Night Tour V3 merupakan salah satu inisiatif bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri ini.

Katanya usaha itu mampu menarik minat pelancong yang mahu melihat keunikan seni reka dan menelusuri sejarah di Kellie’s Castle pada waktu malam.

Tambahnya lagi, Kellie’s Castle telah terpilih sebagai salah satu produk ‘Dark Tourism’ oleh Tourism Malaysia bersempena Program Dream To PATA (Persatuan Pelancongan Asia Pasifik) pada 1 Julai lalu.

“Ini antara usaha-usaha kerajaan negeri yang mahu mempelbagaikan lagi produk pelancongan bagi memulihkan industri pelancongan domestik.

“Walaupun pada masa ini kita akur dengan penularan COVID-19, ianya menjadi cabaran kerana angka kes positif masih meningkat.

“Justeru kita harapkan agar operator dan pemain industri pelancongan dapat meneruskan aktiviti pelancongan dengan kadar yang selamat,” ujarnya.


Sumber : Perak Today