MENU

 

JIKA anda ingin merasai pengalaman menyeramkan, ayuh berkunjung ke Kellie's Castle di Batu Gajah, Perak bermula Oktober ini untuk menghadiri acara bertemakan komik, Spooky Toon V.2.

Acara mini (bayaran masuk RM5 ke Kellie's Castle) ini bakal berlangsung pada 24 dan 25 Oktober antara pukul 10 pagi hingga 6 petang dan akan menonjolkan komik serta kartun menyeramkan.

"Kami ingin memberi penghargaan kepada seni komik dan kartun tempatan yang mampu menarik pelancong ke sini," kata penganjur Zamari Muhyi.

Spooky Toon V.2 dianjurkan oleh pengurusan Kellie's Castle serta komuniti Pekan Kartun. Ia pertama kali diadakan tahun lalu ditempat yang sama.

Acara itu turut mendapat sokongan oleh SAKO, KamiPelukisKomik, Shichibukai Cosplay Perak, D'Mara Hotwheels dan Persatuan Animasi Malaysia (Animas).

Menjanjikan aktiviti yang menyeronokkan dan menyeramkan, Zamari yang juga pengarah urusan Kellie's Castle memberitahu pelbagai aktiviti bakal diadakan di Spooky Toon V.2 termasuklah pertandingan melukis hantu dan cosplay bertemakan seram.

Tetapi jangan takut! Garis panduan kesihatan awam yang ketat akan dilaksanakan malah pengajur hanya mengehadkan 250 pengunjung untuk masuk.

Kakitangan Kellie's Castle akan melakukan rondaan di kawasan tersebut bagi memastikan pengunjung melakukan penjarakkan sosial serta memakai pelitup wajah.

Sekiranya cukup berani, anda juga boleh menyertai Doodle Battle pada 24 Oktober ini.

Diadakan di dalam istana itu sendiri, peserta akan ditempatkan di lokasi di mana entiti ghaib dikatakan berada seperti "Helen's Room", koridor istana atau bilik dobi.

Namun jika anda tidak kuat semangat, apa kata melawat ke Pameran Gambar Hantu Kellie's Castle di kompleks utama Istana itu.

Acara ini juga akan merangkumi beberapa pelancaran buku komik yang akan berlangsung pada hari terakhir Spooky Toon V.2.

Kelembai, kolaborasi antara seniman Malaysia dan Indonesia, adalah buku yang perlu diberi perhatian. Ini berkisar tentang mitos Sang Kelembai dan kisah misteri di sebaliknya.

Pelancaran komik lain yang mungkin menarik minat anda termasuklah Balasan Kepada Pengamal Ilmu Iblis oleh Ukhwah Creative Publication, sebuah komik aksi seram oleh artis komik kelahiran Perak, Halim Hassan bersama artis tamu Cekeding dan Umbut. Malahan, lebih banyak aktiviti sedang dirancang untuk acara tersebut.

Spooky Toon V.2 diadakan bersempena dengan Kellie’s Castle Night Tour yang berlangsung setiap Oktober.

Kellie's Castle adalah Istana yang tidak siap dibina oleh pemilik ladang getah warga Scotland bernama William Kellie-Smith.

Ia dikatakan hadiah untuk isterinya dan juga untuk meraikan kelahiran anak mereka. Malangnya, Kellie-Smith meninggal kerana radang paru-paru pada usia 56 tahun dan istana ini tidak pernah siap dibina. Pembinaan istana bermula pada tahun 1915 dan berakhir pada tahun 1926.

SUMBER : MSTAR