MENU

IPOH - Kerajaan Perak membenarkan penjaja kecil kembali beroperasi termasuk yang berniaga di sekitar kediaman dengan memohon lesen perniagaan secara harian daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, inisiatif itu adalah usaha membantu kalangan penjaja untuk menambah pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas perniagaan mereka terhenti selama tiga bulan sebelum ini bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang digariskan oleh kerajaan masih perlu dipatuhi.

“Secara umumnya, semua (perniagaan) telah dibenarkan untuk berniaga mengikut SOP yang ditetapkan. Kita turut benarkan untuk berniaga di depan rumah cuma kena ikut SOP tersebut.

“Kesemuanya tidak terkecuali dan pemantauan berterusan akan dijalankan oleh PBT seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sama ada dari segi nasihat atau penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui pada Program Gotong-Royong di Flat Conolly Pasir Puteh di sini, hari ini.

Nolee Ashilin berkata, pelaksanaan sistem lesen harian itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penjaja.

Lesen harian merupakan inisiatif yang disarankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada kerajaan negeri dan PBT yang memudahkan penjaja membayar berdasarkan hari-hari mereka berniaga.

Terdahulu, Nolee Ashilin memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan program pencegahan susulan peningkatan kes wabak denggi dan chikugunya.

Katanya, daerah Kinta merupakan lokasi panas dengan mencatatkan sebanyak 1,275 kes.

“Tahun ini, Perak mencatatkan 1,979 kes denggi Dan 710 kes chikugunya. Flat Conolly mencatatkan lapan kes denggi dan empat kes chikugunya. Melalui program ini, kerajaan negeri telah mengedarkan tin aerosol kepada setiap keluarga bagi membantu mencegah wabak bagi kediaman masing-masing,” katanya.
 

Sumber : Sinar Harian