MENU

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Assalamualaikum Warrahmatullah Hiwabarakatuh dan Salam Sejahtera

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya dapat kita bertemu di tahun baharu 2022. Masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan selamat tahun baharu 2022 dan seperti kelazimannya kedatangan tahun baharu pasti diiringi dengan azam dan tekad baharu yang ditanam oleh setiap daripada kita. Saya mendoakan supaya setiap apa yang dihajatkan pada tahun ini akan dapat ditunaikan dan saya juga berharap agar kita semua memasuki fasa yang lebih baik dan lebih cemerlang dari tahun-tahun sebelumnya. In shaa Allah.

Dikesempatan ini juga saya ingin merakamkan jutaan terima kasih dan syabas kepada barisan Ahli Majlis yang mana sepanjang tahun 2021 telah memberikan seratus peratus kerjasama kepada saya dan anggota MDBG dalam menjayakan pelbagai program yang telah diaturkan. Kerjasama seperti ini amatlah saya hargai dan mohon ianya diteruskan lagi pada masa sekarang dan hari-hari seterusnya.

Dalam menangani cabaran yang bakal mendatang untuk tahun 2022, serta dalam rangka membina lebih banyak kejayaan yang membanggakan, teras kepada setiap kejayaan adalah komitmen, pengurusan yang cekap dan tenaga kerja yang berkualiti. Untuk itu, tahun 2022 kita harus masuk ke gerbang transformasi minda baharu selepas mengharungi detik sukar pasca pandemik Covid-19. Justeru itu, pengalaman, kejituan, dan disiplin yang tinggi dalam kalangan warga kerja MDBG harus dipertingkatkan lagi.  

Agenda utama kita di tahun 2022 adalah untuk merentas semua halangan dan cabaran agar MDBG dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap lapisan masyarakat. Warga kerja perlu sedar bahawa kejayaan akan hanya dapat dicapai apabila kita mempunyai perancangan yang rapi, pelaksanaan dan kawalan yang berkesan, mempunyai sikap kebertanggungjawaban yang tinggi, kreatif dan berinovasi, bekerjasama dan berkongsi sumber dalam situasi menang-menang (win-win situation).

Saya juga ingin memetik kata-kata Y.Bhg Tan sri Ketua Setiausaha Negara di dalam ucapan tahun baharu 2022 yang mana beliau turut menggesa agar anggota perkhidmatan awam perlu sentiasa proaktif dan responsif terhadap keperluan semasa rakyat dan negara, di samping sentiasa teguh dalam menggalas amanah serta tanggungjawab diberikan. Kerjasama kukuh, kesefahaman jitu dan sokongan rentas agensi dengan mengetepikan kepentingan individu serta ego, adalah ramuan utama kejayaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Izinkan saya menyorot sepintas lalu pencapaian MDBG pada tahun 2021.

  • Pengurusan
    • Pensijilan MS ISO 9001:2015
      Audit pemantauan oleh pasukan juruaudit SIRIM telah diadakan pada 26 Oktober 2021. Semasa pengauditan dibuat sebanyak 5 peluang penambahbaikan (OFI) telah diberikan dan saya menyeru supaya tindakan segera dapat diambil sebelum audit pensijilan semula pada tahun ini.
       
    • Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) 2021-2025
      Majlis pelancaran OACP telah diadakan pada 15 September 2021. OACP ini mengandungi 4 strategi yang merangkumi 33 inisiatif utama, 64 inisiatif, 4 bidang keutamaan, 5 objektif strategi, 30 inisiatif jangka pendek dan 3 inisiatif jangka panjang.
       
    • Aduan Awam
      Pada tahun 2021, sebanyak 692 aduan awam telah diterima dengan peraus penyeleaian adalah 100%. Trend penurunan aduan awam direkodkan menunjukkan keberkesanan pelbagai program libat urus yang melibatkan komuniti dan peranan yang dimainkan oleh Ahli Majlis yang mewakili zon masing-masing.
       
    • Program Vaksinasi
      Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penajwat awam MDBG ermasuk barisan Ahli Majlis yang telah berjaya melengkapkan suntikan vaksinasi Covid-19. Sehingga kini, kira-kira 60% daripada kalangan anggota telah mendapatkan dos penggalak atau booster , manakala baki yang lain sedang diuruskan untuk temujanji dengan klinik yang telah dikenalpasti.

 

  • Pembangunan
    • Projek Pembangunan
      Pada tahun 2021, sebanyak RM 4 juta telah dibelanjakan bagi melaksanakan 27 projek berskala besar melalui peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Kesemua projek ini banyak memanfaatkan penduduk di dalam kawasan pentadiran MDBG dan diharap ianya akan menjadi pemangkin ekonomi setempat.
       
    • OSC
      Bagi permohonan melalui OSC pula sebanyak 392 permohonan telah diterima dan 100% dapat diselesaikan dalam tempoh piagam yang telah ditetapkan.

Saya sentiasa berpegang kepada prinsip “reward and punishment” dimana setiap kejayaan pasti akan ada ganjaran manakala bagi kesalahan atau pelanggaran akan ada akibat dan hukuman. Justeru itu, sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa saya tidak akan berkompromi bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang dilakukan oleh anggota dibawah jagaan saya. Tindakan tatatertib akan diambil sekiranya terdapat bukti dan fakta yang menyokong setiap kesalahan yang dilakukan.

Seterusnya saya juga ingin berpesan kepada diri saya dan tuan/puan sekalian bahawa jawatan, kedudukan yang kita miliki ini bukanlah tiket untuk mencipta peluang untuk kepentingan diri. Kita perlu sentiasa muhasabah dan bertanya kepada diri sendiri apakah sumbangan yang kita berikan untuk organisasi. Jangan kita bertanya adakah cukup dengan apa yang kita lakukan untuk kecemerlangan tempat kita berkhidmat. Saya percaya setiap daripada kita pasti ada jawapannya. Hanya “tepuk dada tanya selera”.

Saya akhiri ucapan ini dengan menyeru agar kita terus teguh bersatu, bekerjasama, mengetepikan ego yang menguasai diri, bersikap bongkak dan iri hati serta membuang apa sahaja sifat negatif dalam diri. Mulakan dengan sikap berlapang dada, menjaga ukhwah dan menghormati antara satu sama lain. Kesemua elemen ini wajib dimiliki oleh setiap daripada kita yang terdiri daripada “Keluarga Majlis Daerah Batu Gajah” sekiranya hajat dan cita-cita kita untuk menjadi Majlis Perbandaran menjadi kenyataan.

Sebagai penutup, renungkanlah sepotong hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang berbunyi “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain”.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh.

 

MOHAMAD RAZIF BIN RAMLI, AMP
YANG DIPERTUA
MAJLIS DAERAH BATU GAJAH