Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Perutusan YDP

Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh, salam sejahtera, salam Malaysia Madani dan Salam Perak Sejahtera 2030. Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta izinnya dapat kita sekali lagi berkumpul di dalam Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Perutusan Tahun Baharu 2024 pada hari ini. Saya ingin mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2024 kepada semua anggota kerja Majlis Daerah Batu Gajah dan saya mendoakan agar tahun ini akan membawa lebih kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan buat organisasi yang kita kasihi iaitu Majlis Daerah Batu Gajah.

Saya menyebut organisasi yang kita kasihi kerana saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan untuk menghargai tempat kita bekerja, kerana meski pun ianya tidak mebuatkan kita kaya raya tetapi dari sinilah rezeki kita ada. Organisasi yang mana tempat kita mencari sesuap nasi menyara diri dan keluarga haruslah menjadi keutamaan apabila keutamaan peribadi boleh dikompromi. Tanamkanlah sifat “self of belonging” kepada organisasi kerana jika kita mempunyai sifat yang demikian, Insha Allah tiada perlanggaran kepada tatatertib, undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa boleh berlaku.

Saya juga ingin mengucapkan selamat datang kepada anggota yang baharu dilantik samada lantikan baharu mahu pun yang telah diserap ke jawatan tetap serta telah memulakan tugas di jabatan dan unit masing-masing. Saya ingin memberi peringatan bahawa perlantikan yang dibuat adalah berdasarkan kelayakan, merit dan keupayaan semasa melalui proses saringan dan temuduga yang diadakan. Jalankanlah tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh jujur, ikhlas dan berintegriti serta buktikan kepada pihak pengurusan bahawa perlantikan ini adalah dibuat dengan tepat dan selari dengan keperluan organisasi.

Peringatan ini juga tidak terkecuali kepada anggota yang sudah sedia berkhidmat supaya menunjukkan contoh teladan yang baik dan terus berusaha dengan lebih gigih agar kualiti penyampaian perkhidmatan terus dipertingkatkan. Kesempatan ini juga saya ingin rakamkan jutaan terima kasih di atas khidmat bakti anggota yang telah bersara dan menamatkan perkhidmatan mereka di Majlis Daerah Batu Gajah pada tahun 2023. Semoga jasa dan pengorbanan yang dicurahkan diganjari dengan sebesar besar ganjaran oleh Allah SWT dan menikmati hari-hari persaraan dengan lebih tenang dan gembira.

Tahun 2023 telah kita tinggalkan dengan rakaman peristiwa yang amat membanggakan. Satu persatu anugerah, pencapaian serta penghargaan yang telah dikecapi di peringkat negeri serta kebangsaan. Anugerah yang terunggul ialah Majlis Daerah Batu Gajah telah dinobatkan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik kategori Majlis Daerah dalam Sistem Penarafan Bintang PBT seluruh Malaysia. Saya ingin mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada Tuan Setiausaha, Ketua-ketua Jabatan dan seluruh warga kerja Majlis Daerah Batu Gajah yang bekerja keras sehingga kita berjaya menempa nama sebaris dengan PBT hebat yang lain. Kerjasama erat serta pengembelengan tenaga semua pihak adalah ramuan utama yang menghasilkan sajian enak yang dapat kita kongsikan bersama pada hari ini.

Namun demikian cabaran yang lebih besar menanti kita pada tahun ini adalah untuk mengekalkan kedudukan yang telah kita nikmati kini. Saya begitu bimbang jika kita terus hanyut dibuai dengan mimpi indah dan leka dengan pencapaian yang telah diterima. Kita mulai hilang fokus atau tumpuan terhadap misi dan visi yang ingin kita capai. Kita mula bersikap alpa dan sambil lewa dalam tugasan harian dan yang paling membimbangkan saya ialah kita sudah merasa cukup selesa denga apa yang kita kecapi. Ini kerana sekiranya sikap demikian jika ada di dalam diri tuan-tuan dan puan-puan nescaya hasil kerja keras yang kita lakukan selama ini akan menjadi sia-sia. Justeru itu saya ingin mencabar tuan-tuan dan puan-puan untuk terus laparkan kejayaan, terus lakarkan kegemilangan, terus tetapkan tekad untuk menempuh tahun 2024 ini dengan langkah yang lebih berani dan bersemangat.

Tunjukkan kepada orang di luar sana, rakan-rakan PBT yang lain bahawa anggota kerja Majlis Daerah Batu Gajah bersedia menggalas amanah dan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada masyarakat, negeri dan negara. Kita mampu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk berdasarkan moto Mudah Cepat Berkesan sebagaimana yang sering kita laungkan selama ini.

Buanglah “mentality silo” ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Setiap anggota perlu bekerja dalam satu pasukan bagi memastikan setiap dasar dapat dilaksanakan sebaiknya seperti mana yang telah direncanakan. Kita juga perlu kepada platform kerjasama dan perkongsian antara rakan strategik kerana ia juga mampu merangsang semangat kreatif dan inovasi dalam kalangan anggota.

Dalam memastikan Majlis Daerah Batu Gajah terus berada di landasan yang tepat untuk menuju Majlis Perbandaran, pengurusan kewangan merupakan salah satu elemen yang penting untuk diberi perhatian. Jika melihat kepada trend hasil, berlaku peningkatan kepada hasil bukan cukai. Pihak Majlis sudah semakin serius dalam mengurangkan kebergantungan kepada hasil cukai. Untuk pencapaian sebenar tahun 2022, hasil bukan cukai direkodkan sebanyak 32.85% daripada keseluruhan kutipan hasil.

Sehingga bulan November tahun 2023 hasil bukan cukai sudah mencapai 30.13% daripada keseluruhan kutipan. Trend ini diteruskan apabila Bajet 2024 menyasarkan kutipan hasil bukan cukai sebanyak 34.76% bersamaan dengan RM 10 juta daripada keseluruhan hasil Majlis. Usaha peningkatan hasil bukan cukai ini dibahagikan kepada 2 kategori iaitu yang pertama peningkatan hasil sedia ada dan yang kedua sumber hasil baharu. Sebanyak 41 cadangan hasil baharu telah dimasukkan ke dalam Bajet 2024 dengan anggaran peningkatan hasil sebanyak RM 2.98 juta.

Justeru itu saya menyeru semua pihak iaitu Ahli Majlis dan seluruh anggota Majlis Daerah Batu Gajah untuk sama-sama memastikan perancangan dan cadangan-cadangan bagi hasil baharu dapat direalisasi dan dilaksanakan dengan betul dan teratur. Setiap perbelanjaan hendaklah dilakukan dengan penuh hemah dan elakkanlah dari berlakunya pembaziran serta ketirisan. Saya percaya dengan sokongan dan komitmen semua pihak tidak ada perkara yang mustahil untuk kita capai.

Saya telah memperkenalkan konsep 3C iaitu Cekap, Cakna dan Cekal dalam pentadbiran saya selaku Yang Dipertua bagi memacu dan mencorak halatuju Majlis Daerah Batu Gajah menjadi Majlis Perbandaran sebagaimana yang direncanakan di dalam Pelan Strategik MDBG 2020-2025. Saya perlu sentiasa CEKAP dalam melaksanakan tadbir urus selaras dengan Rangka Kerja Pemerkasaan PBT atau RKPBT selain dari cekap dalam pengurusan bandar dan sumber kewangan. Kemudian saya perlu CAKNA kepada kehendak pemegang taruh serta keperluan rakyat di mana ianya amat berkait rapat dengan “delivery system” terutama dalam membangunkan persekitaran kondusif dan membentuk kehidupan yang sejahtera.

C yang ketiga ialah CEKAL di mana saya akan sentiasa mengamalkan gaya “Management By Walking About” atau sentiasa turun padang bagi mendalami setiap isu dan permasalahan penduduk dan juga anggota. Menyelesaikan sebarang isu dan permasalahan yang berlaku berdasarkan ruang lingkup peraturan dan undang-undang serta konsisten dalam setiap keputusan dan tindakan yang dilaksanakan.

Oleh yang demikian saya menyeru semua ketua-ketua jabatan dan seluruh anggota untuk memahami konsep yang diperkenalkan dan menerapkan di dalam gerak kerja di setiap jabatan. Ketua jabatan perlu sentiasa menyelia dan membuat pemantauan agar sesuatu tugas itu dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Sekiranya ada perlanggaran terhadap undan-undang, arahan dan prosedur tindakan sewajarnya harus diambil. Jangan biarkan ianya membarah hingga menyebabkan perjalanan organisasi terganggu. Sebaliknya berilah penghargaan sekiranya ada anggota yang berjaya mengharumkan nama baik jabatan dan memberi nilai tambah kepada kejayaan organisasi.

Pada hari ini juga saya ingin kongsikan intipati ucapan YAB Menteri Besar Perak semasa Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu yang telah diadakakan pada 10 Januari yang lalu. YAB Menteri Besar telah menekankan lima fokus utama sebagai agenda penting kerajaan negeri pada tahun ini yang merupakan faktor penting melebarkan sayap ekonomi serta kesejahteraan Negeri Perak di samping merealisasikan agenda Perak Sejahtera 2030.

Lima fokus tersebut adalah seperti berikut

a. Memberdaya Ekonomi, Meneroka Sumber Pendapatan Baru. YAB Menteri Besar menyeru agar semua jabatan dan agensi untuk agresif dalam mencipta peluang dan memanfaatkan kekuatan yang ada supaya mampu bersaing dalam ekosistem ekonomi yang serba kompetitif;

b. Memacu Inovasi Dalam Sistem Penyampaian; 

c. Mengangkat Kebajikan Dan Kesejahteraan Rakyat. Iaitu program-program outreach terus diperluaskan bagi memastikan tiada rakyat miskin yang tercicir daripada sentuhan kerajaan;

d. Meneguhkan Agenda Kelestarian Alam Sekitar. Ia merupakan antara langkah strategik yang perlu dilaksanakan bagi meneguhkan komitmen semua pihak dalam memulihara alam sekitar; dan

e. Menjayakan Tahun Melawat Perak 2024.

Tahun Melawat Perak 2024 telah dilancarkan secara rasmi oleh YAB Menteri Besar Perak pada 31 Disember 2023 yang lalu. Negeri Perak mensasarkan kehadiran pelancong seramai lapan juta orang untuk menerokai keindahan pelbagai produk pelancongan di negeri ini. Dalam ucapan pelancaran tersebut beliau mengharapkan rakyat negeri Perak berperanan sebagai duta bagi menjayakan usaha tersebut. Sehubungan dengan itu saya ingin mengajak semua anggota dan Ahli-ahli Majlis untuk bersama-sama kerajaan negeri menjayakan Tahun Melawat Perak pada tahun ini.

Sebagaimana yang kita sedia maklum kawasan pentadbiran Majlis Daerah Batu Gajah mempunyai pelbagai produk pelancongan yang menarik untuk dilawati seperti Kellie’s Castle, Warisan Kapal Korek TT5, Air Terjun Lubuk Timah, Pusat Makanan Udang Galah di Tanjung Tualang, Galeri Lat dan yang terbaru Silverlake Village Outlet. Manfaatkan sepenuhnya platform media sosial untuk berkongsi kisah menarik, gambar, video atau apa juga medium yang boleh menggamit kehadiran pelancong. Kongsikan mengenai kelazatan makanan, kegiatan budaya, pesona, keindahan dan keunikan negeri kita khususnya di Batu Gajah. Saya juga ingin mengingatkan jabatan berkenaan supaya terus mengekalkan kebersihan dan keceriaan termasuk pencahayaan di lokasi tumpuan pelancong agar kehadiran pelancong nanti tidak disambut dengan kekecewaan dan memberi imej yang tidak baik bukan sahaja kepada kita amnya tetapi Negeri Perak khususnya.

Masuknya tahun baharu 2024 saya ingin berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan dan puan-puan sebaiknya kita melakukan muhasabah. Muhasabah bermaksud melakukan penilaian dan semakan terhadap diri sendiri, agar kita sedar akan kekurangan diri kita, dan kesilapan yang pernah kita lakukan sama ada secara sedar dan secara sengaja ataupun secara tidak sedar dan secara tidak sengaja. Muhasabah membolehkan seseorang menginsafi ketelanjuran diri, merenung akan kelemahan yang perlu dibaiki, serta kebaikan yang perlu digandakan; dan pada masa yang sama membuat pembetulan serta melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Sepanjang tahun 2023, apa jua peristiwa yang menimpa, sama ada baik atau buruk, kebahagiaan atau kesedihan, suka atau duka; hendaklah diterima sebagai ketentuan Ilahi yang mengandungi pelbagai hikmah ujian dan pelajaran untuk menguji tahap keimanan insan. Insan yang bijak ialah insan yang sentiasa memanfaatkan usia dengan baik tanpa disia-siakan, tidak berputus asa, tidak melihat kegagalan pada masa lalu sebagai penamat jalan, di sebaliknya gigih bangkit melakukan perubahan, berusaha dari hari ke hari untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan, hingga pada akhirnya berjaya mencipta kejayaan. Semoga dengan ihsan Ilahi, melangkahnya kita ke tahun baharu akan diiringi dengan rahmat, rezeki dan kesihatan merentasi perjalanan hidup sepanjang tahun 2024.

Sekian.
wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

MOHAMAD RAZIF BIN RAMLI, PMP., AMP.,

Yang Dipertua
Majlis Daerah Batu Gajah
  • Utama
  • Korporat
  • Perutusan YDP
mygov
mampu
mdec
mdec
mof
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13
14
15
Hakcipta Terpelihara © 2024 Majlis Daerah Batu Gajah . Kemaskini : 29/03/24 • Jumlah Pelawat : 21287021